Jenis watak Bleach

Semua watak dalam Bleach ialah roh. Manusia hidup mengandungi roh dalam tubuh sebenar. Roh dan semangat bebas pula mengambil bentuk ektoplasma (霊子, reishi), sejenis tenaga semangat. Tenaga ini merangkumi semua makhluk halus; tiada garis untuk membezakan minda daripada badan. Jenis organisma atau jadian adalah seperti di bawah.

  • Manusia: Manusia dalam Bleach dipaparkan seperti rakyat Jepun moden. Kebanyakan manusia tidak boleh melihat dan mengesan roh dalam mana-mana cara. Tetapi, roh boleh mendiami badan tiruan dan dengan ini, boleh dilihat oleh manusia. Seorang dalam 50 000 manusia boleh bertindak sebagai medium komunikasi dengan hantu, tetapi hanya satu pertiga sahaja yang boleh melihat hantu dengan jelas. Sesetengah manusia pula mempunyai kuasa untuk mengesan roh dan kekuatan untuk melawan mereka. Manusia biasa lain boleh memperoleh keupayaan ini; mereka hanya perlu selalu berada berhampiran dengan sumber kuasa semangat yang besar.
  • Plus: Merupakan hantu jinak dan tidak berbahaya dalam Bleach. Plus ialah roh bagi seseorang yang baru meninggal. Seutas rantai yang dikenali sebagai '因果の鎖, inga no kusari' (Rantai Nasib) akan tersembul dari dada plus dan menghubungkannya kepada sesuatu objek, orang atau lokasi yang dirasakan paling dekat kepada mereka semasa hidup. Roh tersebut boleh bergerak bebas selepas rantai tersebut putus tetapi hal ini juga akan mengakibatkan rantai itu terkakis. Biasanya, plus akan dihantar ke Soul Society oleh shinigami melalui satu upacara yang dikenali sebagai '魂葬, konsō' (pengebumian roh) sebelum kakisan Rantai Nasib menjadi lebih nyata. Apabila rantai tersebut habis terkakis sebelum menjalani 'pengebumian roh', satu lubang akan wujud di dada roh (di tempat asal Rantai Nasib tersembul). Roh sedemikian akan hilang kewarasan dan menjadi roh jahat - hollow. Jika Rantai Nasib sengaja ditarik keluar, kadar roh tersebut menjadi hollow akan meningkat.
  • Shinigami: Shinigami (Dewa Maut) ialah roh yang mempunyai kuasa semangat dalaman dan dilantik daripada kalangan warga biasa dan kaum bangsawan di Soul Society. Seperti roh lain, mereka tidak boleh dikesan oleh manusia biasa. Shinigami menggunakan pedang roh (zanpakutō) untuk menjalankan upacara "pengebumian roh" terhadap plus. Shinigami juga menggunakan zanpakutō dan kidō untuk menentang musuh utama mereka, hollow. Sesetengah shinigami berjaya memperoleh kuasa hollow secara haram dan dikenali sebagai vizard.
Ichigo berhadapan dengan hollow
  • Hollow: Mereka merupakan antagonis utama dalam Bleach. Mereka ialah hantu jahat yang tinggal di Hueco Mundo tetapi merantau ke dunia manusia untuk makan roh manusia yang masih hidup dan yang telah mati. Seperti shinigami, mereka terdiri daripada zarah-zarah semangat dan menggunakan kuasa semangat dalaman untuk bertarung. Kebanyakan hollow dapat ditewaskan oleh shinigami biasa tetapi ada juga yang keupayaannya melampaui kekuatan shinigami peringkat kaptan. Semua hollow memakai topeng putih kecuali sebilangan kecil sahaja yang dikenali sebagai arrancar; mereka mampu menanggalkan topeng sendiri dan menggunakan kuasa shinigami. Walaupun mereka mempunyai zanpakutō, pedang tersebut digunakan untuk mengubah rupa fizikal arrancar terbabit.
  • Roh tiruan: Merupakan produk yang dihasilkan secara besar-besaran oleh shinigami. Roh tiruan dikeluarkan dalam bentuk pil dan digunakan untuk memaksa shinigami keluar dari gigai semasa berada di dunia manusia serta mempunyai personaliti yang telah diprogramkan (mereka akan menganimasikan tubuh shinigami tersebut sementara menunggu kepulangannya). Selain itu, terdapat satu versi roh tiruan yang berlainan dan dikenali sebagai "roh modifikasi". Roh modifikasi berfungsi untuk memburu hollow dengan merasuk tubuh manusia yang kosong (tidak mengandungi roh) dan mempunyai kekuatan luar biasa seperti kekuatan atau kelajuan yang dipertingkat. Shinigami berkeputusan untuk menamatkan kajian berkenaan roh modifikasi kerana tindakan memaksa mayat untuk berlawan adalah tidak bermoral. Maka, semua roh modifikasi terpaksa dimusnahkan. Hanya satu sahaja yang terselamat tetapi dalam anime, sekurang-kurangnya tiga lagi telah dihasilkan.
Quincy dengan busur sebagai senjata utama
  • Quincy: Mereka ialah sebuah keluarga yang terdiri daripada manusia yang mempunyai kuasa semangat dalaman dan pernah menentang hollow dengan menggunakan senjata yang terdiri daripada tenaga semangat. Bertentangan dengan shinigami, Quincy menyerap dan mendapat tenaga daripada sekeliling. Apabila seorang shinigami membunuh hollow, jiwa hollow tersebut akan dibersihkan dan segala dosanya akan dihapuskan lalu membolehkannya memasuki Soul Society. Tetapi, teknik Quincy membunuh hollow akan terus memusnahkan hollow tersebut. Tindakan ini akan menjejaskan keseimbangan alam. Apabila roh dimusnahkan, bilangan roh yang memasuki dan meninggalkan Soul Society tidak lagi seimbang. Isu ini mendesak shinigami untuk menghapuskan Quincy 200 tahun sebelum jalan cerita utama bermula. Tetapi, sekurang-kurangnya dua Quincy masih hidup.
  • Bount: Mereka hanya diperkenalkan dalam siri anime. Bount, seperti Quincy, merupakan sebuah keluarga yang mempunyai kuasa semangat dalaman dan kebolehan luar biasa. Mereka dihasilkan secara tidak sengaja oleh saintis shinigami yang sedang menjalankan kajian untuk mencipta kehidupan abadi. Bount mencernakan roh manusia untuk terus hidup; secara teori, mereka dapat hidup selama-lamanya jika berbuat demikian. Walaupun Bount mempunyai peraturan khas yang melarang mereka memakan roh hidup, kumpulan terakhir Bount telah melanggar prinsip tersebut untuk menjadi lebih berkuasa agar mampu memusnahkan dunia shinigami. Setiap Bount menggunakan "doll" (patung) dalam kombat. Setiap doll adalah unik dan merupakan manifestasi kuasa tuannya. Seandainya doll dimusnahkan, tuannya juga akan turut mati.